Ujian Bukan Untuk Melemahkan

Bismillahirrahmanirrahim.

"Semua yang ku ada, hanyalah yang Kau titipkan
Lalu di saat Kau ambil semula hak Mu
Mengapa aku terasa berat melepaskan?
Ku lakarkan ia dengan pelbagai kata
Untuk menggambarkan bahawa ia adalah derita.
Gusti, maafkan kekurangan ini
Hanya saja iman ini masih rapuh"

-petikan dan diolah dari puisi WS Rendra-

Sudah tak teringat berapa lama tidak ku buka laman ini. Bahkan semasa membuat laman ini, tidak lain hanyalah kerana ianya merupakan sebahagian kerja kursus subjek Sains Komputer di Matrikulasi dahulu. Tidak ada minat untuk bergiat menulis di sini kerana ia bukan keutamaan.

Apa yang membuat ku kembali semula ke sini adalah kerana keinginan untuk mencoret sedikit sebanyak pengalaman dan cerita yang ku tempuhi dan lalui sepanjang ini. Juga kerana ingin menajamkan kembali kepetahan minda berbahasa dan juga sebagai tatapan kenangan dan muhasabah diri ini. Aku tidak tahu siapa yang boleh membaca entri-entri ku di blog ini, akan tetapi jika ada yang membacanya, ambillah sedikit ibrah/pengajaran dari kisah di sini. Aku menulis bukan kerana ingin orang baca, akan tetapi aku menulis adalah kerana aku. Aku tidak pandai ingin berkongsi secara lisan bahkan kebanyakan yang ku rasa, aku tidak mampu ekspresikan. Melalui penulisan, segalanya mudah bagiku. Maafkan jika ianya tidak menepati selera kalian, kerana aku tidak menulis untuk kalian. Aku menulis kerana aku mencintai bahasa ;)

2018 sudah lebih dari separuh ku lalui. Banyak kejadian yang terjadi dan ada diantaranya menggugat kekuatan diri ini.

2 Ogos 2018.
Tarikh ini biasa-biasa saja pada ku. Tanpa ku tahu, telah Allah tuliskan bahawa malam tersebut kediaman kami dijilat api. Kejadian berlaku sekitar jam 8 malam, memusnahkan satu lot rumah kami, dua biji rumah hangus dan satu biji rumah hampir separuh terbakar.

Rumah tersebut merupakan tempat kami adik beradik membesar dan juga sebagai peninggalan serta kenangan bersama arwah Abi. Malah, di rumah itu juga Abi menghembuskan nafas terakhirnya. Semua orang rasa terduduk dan terkejut dengan apa yang melanda. Aku seakan tidak percaya melihat api yang marak meratah setiap inci rumah kami..aku hanya mampu bersila di tepi jalan, tidak gagah lagi untuk berdiri selepas berlari-lari menuju ke rumah.

Pada mulanya, terasa down juga, namun melihat ahli keluarga yang selamat, aku bersyukur. Setidak-tidaknya, aku masih ada mereka. Harta dan material datang dan pergi, namun nyawa jika pergi, tidak mungkin kembali lagi.

Benarlah bahawa saat ditimpa musibah, kita mudah mempersoalkan takdir. Mujur bagiku, Allah menguatkan diri ini dengan kehadiran mama dan orang-orang yang ku sayangi. Kebaikan Allah SWT pada diri ini tidak terperi hitungnya. Segera ku teringat sepotong doa di dalam satu hadis, ketika kita ditimpa musibah, berdoalah dengan doa itu, mudah-mudahan hati menjadi ikhlas meredhakan ujian Illahi.

Hidup tidak akan sunyi dari disapa ujian. Sikit demi sikit, Allah mengajar kita untuk melepaskan dunia dari genggaman. Seingatku, benarlah ungkapan itu. Semasa di kampus, Allah menguji dengan keretakan institusi keluarga, kehilangan tajaan pendidikan, pemergian Abi ke rahmatullah (beberapa bulan sebelum hari jubah universiti) dan kini kehilangan materi. Bukan untuk membandingkan dengan orang lain, bahkan aku percaya apa yang ku lalui ini lebih kecil berbanding orang lain, tapi apa yang ingin di highlight di sini adalah, ujian Allah pasti akan hadir, tidak kira kita bersedia atau tidak. Belajarlah untuk menerima dan berharap pada Allah.

Dalam kehidupan seharian kita, tidak sempat membaca Al-Quran juga merupakan musibah besar. Tidakkah kita rasa ianya suatu bencana?
Sedikit gambar selepas kejadian
Hitam-hitam arang, hitam lagi matamu. Eh! hahaha.

Inilah doa yang dianjurkan membacanya ketika ditimpa musibah.
-Dagang Pak Malau-


Comments

Popular Posts